SEJARAH PERTANDINGAN WIND ORCHESTRA SBP
Pertandingan Wind Orchestra Sekolah Berasrama Penuh (SBP) telah diadakan buat kali pertama di Johor Baharu pada 1 dan 2 Ogos 1997. Dalam pertandingan tersebut, sebanyak 18 buah Sekolah Berasrama Penuh telah menyertainya. Sekolah Tun Fatimah telah diberi penghormatan menjadi tuan rumah kali pertama. Upacara perasmian telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan pada ketika itu, YB. Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak.
Pertandingan kali ke-2 (1998) telah diadakan di Kuala Lumpur, Sekolah Alam Shah dan Sekolah Seri Puteri telah diberi penghormatan sebagai penganjur bersama bagi menjayakan pertandingan tersebut. Namun pada tahun tersebut hanya 6 buah Sekolah Berasrama Penuh yang telah mengambil bahagian. Hal ini berlaku disebabkan tarikh pertandingan yang terlalu hampir dengan peperiksaan. Upacara perasmian pertandingan telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia pada ketika itu iaitu Tan Sri Dr. Abdul Shukor Abdullah.
Pada tahun 1999 dan 2000 Pertandingan Wind Orchestra Sekolah Berasrama Penuh telah dihentikan buat sementara waktu kerana masalah kegawatan ekonomi negara. Pada tahun 2001, Pertandingan Wind Orchestra Sekolah Berasrama Penuh kali ke-3 telah diadakan semula di mana Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh telah dipilih sebagai tuan rumah. Upacara perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Abdul Rafie Mahat. Sebanyak 15 buah Sekolah Berasrama Penuh telah menyertai pertandingan tersebut.
Pada tahun 2002, Sekolah Dato’ Abdul Razak, Seremban telah dipilih sebagai tuan rumah untuk Pertandingan Wind Orchestra SBP kali ke-4. Sebanyak 16 buah Sekolah Berasrama Penuh telah mengambil bahagian. Seterusnya Sekolah Dato’ Abdul Razak telah dipilih sebagai tuan rumah untuk Pertandingan Wind Orchestra SBP kali ke-5 pada tahun 2003, dan kali ke-6 (2004) dan bilangan Sekolah Berasrama Penuh yang mengambil bahagian pada tahun 2003 dan 2004 adalah sebanyak 16 buah sekolah.
Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya telah dipilih sebagai tuan rumah untuk Pertandingan Wind Orchestra ke-7 pada tahun 2005 dan ke-8 pada tahun 2006. Bagi kedua-dua tahun tersebut, bilangan penyertaan sekolah yang mengambil bahagian telah meningkat kepada 18 buah sekolah. Format Pertandingan Wind Orchestra SBP ke-8, 2006 telah dibuat sedikit pindaan iaitu pertandingan peringkat saringan telah diadakan pada 10 hingga 13 Mac 2006. Pertandingan peringkat akhir akan diadakan pada 19 Julai 2006 di Plenary Hall, Kuala Lumpur City Centre bersempena dengan Persidangan Pendidikan Muzik Sedunia (International Society of Music Education World Conference – ISME) yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 16 hingga 21 Julai 2006. Seramai 1000 orang delegasi ISME dari luar negara akan turut menyaksikan Pertandingan Akhir Wind Orchestra SBP 2006. 5 buah sekolah telah layak ke peringkat akhir iaitu Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya, Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya, Kolej Tunku Kurshiah, Seremban, Sekolah Tun fatimah, Johor Baharu dan Sekolah Dato’ Abdul Razak, Seremban.
Pada tahun 2013 Pertandingan Awal Festival Wind Orchestra SBP kali ke 15 telah diadakan di SM Sultan Abdul Halim Jitra Kedah. Sebanyak 9 buah pasukan berjaya ke pertandingan akhir yang diadakan di Putrajaya International Convention Centre (PICC) pada 16 Jun 2013.
Pada tahun 2013 Pertandingan Awal Festival Wind Orchestra SBP kali ke 15 telah diadakan di SM Sultan Abdul Halim Jitra Kedah. Sebanyak 9 buah pasukan berjaya ke pertandingan akhir yang diadakan di Putrajaya International Convention Centre (PICC) pada 16 Jun 2013.